Perladangan

Perbelanjaan dalam talian di Asia Tenggara atasi pertumbuhan pengguna digital

Perbelanjaan dalam talian di Asia Tenggara atasi pertumbuhan pengguna digital



Perbelanjaan dalam talian di Asia Tenggara dijangka mencatatkan pertumbuhan tiga kali lebih pantas berbanding pertambahan pengguna digital menjelang 2025, dengan kategori pakaian dan penjagaan peribadi berada di tempat teratas, menurut satu kajian oleh Facebook dan Bain & Company.

Kajian itu mendedahkan kenaikan perbelanjaan dalam talian di rantau ini akan didorong terutamanya oleh kepelbagaian pilihan, akses internet yang lebih baik dan kemampuan.

“Oleh itu jenama, perlu menjadi lebih bijak dan menyusun semula pemasaran serta perbelanjaan perdagangan mereka untuk selari dengan perjalanan pengguna pelbagai saluran digital yang sentiasa berkembang.

“Jenama yang ingin meraih kejayaan dalam saluran pelbagai ini perlu memahami apa yang pengguna cari dalam kategori mereka, bekerja untuk menyelesaikan keperluan dan masalah, serta menyesuaikan kesetiaan bagi mewujudkan perbezaan, semua ini wajar dibuat dan pada masa yang sama membuat penyampaian dengan konsisten,” kata rakan kongsi Bain & Company Singapura, Gwendolyn Lim kepada media semasa membuat pembentangan kajian itu.

Kepelbagaian saluran digital merujuk kepada talian runcit yang berintegrasi dengan kaedah yang berbeza untuk membeli-belah yang disediakan kepada pengguna.

Kajian yang bertajuk “Riding the Digital Wave: South East Asia’s Discovery Generation”, mendedahkan daripada 90 juta pengguna digital di rantau ini pada 2015, angka itu bertambah 2.8 kali kepada 250 juta pada 2018. Menjelang 2025, akan ada 310 juta pengguna digital di Asia Tenggara.

Sementara itu, Pengarah Urusan Negara Facebook Malaysia, Nicole Tan berkata tidak lagi wujud satu-satu cara untuk membeli-belah dan tidak ada orang yang berbelanja dengan cara yang sama dua kali.

“Memandangkan pelanggan sering terlibat dengan perniagaan melalui beberapa saluran serentak, adalah amat penting untuk mereka bentuk sesuatu penerokaan.

“Di Malaysia sahaja, 70 peratus responden berkata mereka agak terbuka kepada jenama lain atau akan membeli daripada pelbagai jenama apabila membeli-belah dalam talian. Ini bermakna perniagaan tanpa mengira saiz termasuk pemain khusus, mempunyai peluang yang besar untuk bersaing pada skala yang lebih besar di Asia Tenggara,” katanya.

Tan ketika bercakap mengenai pelaksanaan cukai digital enam peratus membabitkan semua perkhidmatan digital pada tahun depan, berkata Facebook dituntut untuk mengenakan cukai enam peratus ke atas jualan iklan kepada semua pengiklan di Malaysia.

“Kami mematuhi keperluan tempatan di mana kami mengendalikan perniagaan kami dan akan terus fokus dalam membantu memajukan transformasi digital negara dengan menyokong perniagaan Malaysia berkembang secara domestik dan di luar negara,” katanya.

“Riding The Digital Wave : Southeast Asia’s Discovery Generation” memberi tumpuan bagi melihat bagaimana pengguna digital sedang membentuk e-dagang di rantau ini.

Kajian tersebut ini membuat penyelidikan ke atas 12,965 responden di seluruh Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand serta Vietnam, dan menemu ramah lebih daripada 30 ketua pegawai eksekutif dan kapitalis teroka di rantau ini.

— BERNAMA





Source link

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *